Lakaran Nostalgia
25 November 2010?? 5.25 petang??
Pentingkah tarikh dan waktu itu? Ya, tarikh dan waktu itu amat penting bagiku.
Mengapa? Pada tarikh dan ketika itulah, diri ini, jiwa ini, kaki ini melangkah
ke sebuah desa yang sudah pastinya mencorakkan seribu persoalan. Tinjar, Baram.
Begitulah namanya. Gelaran sebagai seorang guru bermula di sini. Di desa yang
mekar dengan rimbunan pepohon. Di tengah rimbunan itu berdiri sebuah mahligai
pendidikan untuk mendidik anak bangsa yang kehausan ilmu. Mahligai itu bernama
Sekolah Menengah Kebangsaan Tinjar, Baram.
Apabila aku mendapat maklumat dari pihak Jabatan
Pendidikan Negeri Sarawak melalui surat yang mengatakan penempatan aku sebagai
guru di SMK Tinjar, Baram, aku memikirkan perkara yang bukan-bukan. Pada
mulanya aku mengandaikan Kuala Baram. Hati aku terdetik kegembiraan. Aku
berfikir, sekurang-kurangnya aku masih berada di Miri dan dekat dengan
keluarga. Tetapi, sangkaanku meleset apabila “Kuala Baram” yang aku andaikan
itu rupanya salah. Ah…. Apakah aku salah meneka? Ya, aku memang salah meneka.
Biasalah mana ada manusia yang sempurna. Andaian aku mula menampakkan
bibit-bibit silap apabila aku dan rakan-rakanku yakni Cikgu Akmal, Cikgu Afiq
dan Cikgu Johairi dijemput oleh Cikgu Juren yang merupakan Penolong Kanan Hal
Ehwal Murid untuk ke Tinjar, pada mulanya, aku rasa pelik apabila jalan yang
dituju bukannya ke Kuala Baram, tetapi ke arah Jalan Miri Bintulu. Kemudian,
aku bertanya kepada Cikgu Juren. Adakah Baram yang ingin dituju itu sama atau
tidak dengan Kuala Baram? Beliau mengatakan tidak sama. Oh.. suatu jawapan yang
bukan setakat menenggelamkan mimpiku, malah membuatkan aku menjadi semakin
panik.
Kini, semua mimpi ngeri itu telah terpadam dari
angananku. Aku kian bersemangat untuk melakar impian menjadi seorang pendidik
yang bukan sahaja mampu membina jati diri malah berupaya untuk mendidik aku agar
terus mencintai bidang perguruan ini. Walaupun kehidupan ini tidak menjanjikan kebahagiaan sepanjang masa, kadang-kala aku diasak dengan pelbagai
dugaan dan ujian.
Sekiranya lemah, aku mungkin akan terus hanyut mengikut kata hati dan tidak
berusaha mencari penyelesaian untuk menyelamatkan diri dan keadaan. Dugaan dan ujian ini menjadikan aku kuat untuk menempuhi karier
sebagai seorang guru. Aku percaya aku mempunyai hak dan kemampuan untuk mengemudikan sendiri hidup ini. Jika mahu berjaya dan bergembira, aku harus mengikut corak,
pemikiran, sikap, perangai dan pegangan orang yang berjaya. Biarpun aku baru mengenali bidang perguruan, namun aku
“jatuh hati” dengan kerjaya ini. Harapanku hanya satu iaitu ingin melihat
anak-anak didikku mencintai ilmu dan keluar dari kepompong kemiskinan dan
kecelaruan buat huruf supaya tidak terus menjadi warisan di kemudian hari.
Akhir kata, maaf
dipohon andai kata mengusik rasa, andai
bicara tersilap menerpa, andai senyum tawar menguntum, andai tingkah salah
menerjah, andai pandang salah mengundang, andai dengar salah beredar, andai
tersentuh merungkai keluh.
Sekian...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan